17 Feb 2012

Auk auk bunyinya

Cuaca pada pagi itu agak panas terik. Panasnya sehingga menampakkan wap-wap udara merembes keluar dari permukaan jalan tar. Di tepi jalan itu, seekor anjing duduk leks ja tanpa menghiraukan rasa panas itu. Lidahnya terkelir-jelir sambil tersedu-sedan dan sekali-sekala air liurnya jatuh mentik ke bumi.. Tak ubah seperti perangai pelajar yang suka mengampu pensyarah untuk mendapatkan markah lebih.

Anjing itu hanya duduk di tepi jalan dan memerhati kenderaan yang lalu-lalang di kawasan itu. Sekali-sekala dia bangun berjalan dan kemudian kembali ke tempat duduknya tadi. Dari situ saya membuat andaian yang kemungkinan besar anjing itu tengah tunggu bas. Tapi andaian itu saya tolak keras-keras sebab mana mungkin anjing reti naik bas. Kalau naik pun dia nak ke mana? ke pasar? Pusat snuker? McD?

Matanya kelihatan sugul. Nampaknya seperti sedang dalam keresahan. Daripada informasi yang saya peroleh daripada seorang peniaga syabu di kawasan itu, anjing itu baru sahaja kehilangan ibu dan seorang adik kandungnya yang  dilanggar mati oleh seorang pemandu lori yang sedang mabuk biak. Sudah 3 hari dia merayau-rayau di kawasan itu di mana tempat yang sama ibu dan adiknya terkorban.

Kasihan Jerry. Wah! Nampaknya saya sudah mula menunjukkan sifat keprihatinan terhadap binatang dengan menamakan anjing itu sebagai Jerry. Jerry acapkali ditengking dan diherdik oleh mat-mat rempit yang lalu-lalang di kawasan itu. Adakalanya dia dibaling dengan batu dan juga sampah. Namun Jerry langsung tidak ambil hati dengan sikap segelintir masyarakat kita ini. Bagi Jerry, dia sangat rindukan ibu dan adiknya yang kini sudahpun menjadi humus. Segalanya terlakar jelas di segenap wajah tirus Jerry. Dia kini hilang punca, tiada tempat bergantung. Sabarlah Jerry, dah nasib kau.

Keesokan harinya saya nampak Jerry dah lumat di tengah jalan.